Isu yang dibantah Kontroversi novel Interlok

Pemilihan novel Interlok sebagai bacaan komponen sastera Tingkatan Lima untuk "Zon 2" (Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan) menerima bantahan hebat dari sesetengah masyarakat bukan Melayu di Malaysia yang tidak puas hati kerana mendakwa bahawa buku ini menggambarkan kaum bukan Melayu dengan perihal-perihal yang berbau stereotaip negatif dan dikhuatiri boleh mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga meruntuhkan perpaduan sesama kaum di Malaysia.[2]

Novel Interlok menerima tentangan paling hebat dari pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum India di Malaysia atas keluhan bahawa isi kandungannya ada kata-kata persendaan dan ungkapan stereotaip yang memaksudkan golongan India. Salah satu unsur yang mendapat perhatian terbanyak berkenaan dengan golongan India ialah terungkitnya istilah "paria"[3] iaitu pangkat terendah dalam sistem kasta yang diamalkan oleh tamadun India pada zaman silam, dalam beberapa muka surat buku ini. Kata A Vaithiyalingam, bekas presiden Hindu Sangam, sesetengah isi menggambarkan orang India sebagai "kotor" dan "tidak pandai menjadi suami".[4] Oleh itu, novel ini dibantah kerana dikhuatiri boleh mempengaruhi anak muda bukan India untuk memandang hina masyarakat India. Ketua Pemuda MIC, T. Mohan memberi amaran bahawa semangat 1Malaysia akan luntur jika novel ini diharuskan.[4]

Isu penggunaan kata-kata yang menyinggung perasaan kaum dalam novel Interlok juga dikaitkan dengan sebuah novel Amerika Syarikat abad ke-19, The Adventures of Huckleberry Finn karya Mark Twain yang turut disuratkan kata-kata yang menghina kaum bukan putih, seperti "nigger" (Orang Afrika Amerika) dan "injun" (Orang asli Amerika), menyebabkan ia diharamkan oleh Persatuan Perpustakaan Amerika daripada digunakan dalam perpustakaan pada zaman sekarang.[5]

Bukan sahaja golongan India yang membantah novel Interlok sebagai bahan komponen sastera, malah novel ini turut menerima tentangan dari sesetengah golongan Cina. Pengerusi Belia Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Ng Chong Soon, menuduh tindakan penggunaan novel Interloksebagai cara parti berasaskan kaum seperti UMNO untuk menyebarkan agenda politiknya yang boleh memecahbelahkan perpaduan sesama kaum, dengan memilih buku yang mencerminkan kaum Cina sebagai kaum pendatang yang "tamak dan penipu".[6]Ketua Centre for Policy Initiatives, Lim Teck Ghee, turut menyeru supaya buku yang berisi "stereotaip yang menyinggung perasaan kaum minoriti" itu digugurkan serta-merta.[6]


Bantahan kaum India dan Cina terhadap penggunaan novel Interlok juga menerima reaksi serba kehairanan dari golongan Melayu yang tertanya-tanya mengapa hanya baru-baru ini kedengaran tentangan sedangkan buku ini sudah wujud di pasaran selama sekitar 40 tahun[7], walaupun ada juga orang Melayu yang membantah penggunaan buku ini dalam komponen sastera. Pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang India juga mengatakan bahawa novel Interlok tidak boleh dipandang sebagai permasalahan orang India sahaja kerana ia mengandungi unsur-unsur yang menghina ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India sekali.[8]

Istilah "paria"

Pengkaji sastera, Dr Fatimah Busu, menyatakan bahawa Interlok merakamkan hakikat kedatangan imigran dari India dan China pada sejarah negara ini peringkat moden, iaitu 1900-an sebagai golongan pekerja selepas kedatangan awal dari kasta Brahmana yang membangunkan kuil di Angkor Wat, Kemboja; Borobudurdi Jawa Tengah, Indonesia dan Langkasuka di Tanah Melayu. Realiti kasta di India sebenarnya diperincikan dalam banyak karya seperti Kanthapura karya Raja Rao; A Passage to India (EM Foster);Nectar in a Sieve dan A Handful of Rice (Kamala Markandaya); The Sweet Vendor (RK Narayan) dan antologi cerpen Stories from India. Novel Untouchable karya Mulk Raj Anand telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sjahrudin dengan judul Paria dan diterbitkan oleh Oxford Universiti Press pada 1964. Novel Untouchable merupakan adikarya fiksyen India , telah dijadikan sebagai teks di universiti sejak 1979 hingga 1986 dan 1993 hingga 1997.[9] Malahan filem Slumdog Millionairepada 2008 yang memenangi lapan Anugerah Oscar dan 100 anugerah dalam pelbagai festival dan anugerah filem adalah memaparkan kisah golongan miskin ini tanpa sebarang kontroversi. Konsep pariah juga digambarkan dalam kitab Hindu, Manu Smirti yang termasuk perintah menkasi lelaki kasta rendah yang berani bergaul dengan wanita kasta lebih tinggi.[10], tanpa sebarang bantahan oleh orang India.

Rujukan

WikiPedia: Kontroversi novel Interlok http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Asia/Story... http://www.cwo.com/~lucumi/bigotry.html http://www.freemalaysiakini.com/modules.php?name=N... http://www.freemalaysiakini.com/modules.php?name=N... http://www.freemalaysiatoday.com/2011/01/06/najib-... http://www.freemalaysiatoday.com/2011/02/01/boycot... http://www.freemalaysiatoday.com/2011/02/13/pull-o... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://karyawanluarnegara.com/?p=1748